Sunday, October 26, 2014

Kau Tahu?

Kau tahu?
Hubungan antara kita berdua mungkin akan mengorak sejarah
Seperti adam dan hawa
Seperti buddha dan ayahnya
Seperti muhammad dan kaumnya
Seperti pramoedya dengan anaknya

Kau tahu?
Sentuhan antara kita mampu mengubah takdir
Kerana sentuhan antara manusia
Konsep segala konsep bikinan manusia tercipta
Suku kaum negara dan empayar contohnya
Dari awal masa hingga ke akhirnya

Kau tahu?
Cinta aku kepada kau takkan mengubah apa apa
Kerana cinta tetap cinta
Yang berubah adalah manusia

Kau tahu?

Wednesday, October 22, 2014

kami yang terkemudian

kami yang terkemudian
terus terusan dihimpit oleh order order silam
tak mampu mencapai keinginan diri
terus tenggelam dalam jurang semalam

tak mampu kami berdiri sendiri
kaki dan tangan kami cacat sejak lahir
kamulah yang mencacatkan kami
kerana desakan desakan kekuasaan

bila kami mengeluh
bagaikan salakan ditelingamu
hentaman demi hentaman kami terima
tapi tak mampu untuk kami diam

pewarisan darimu kepada kami
hanyalah barisan barisan hutang piutang
mana mungkin kami langsaikan
walaupun dengan menjual jiwa kami

tolonglah
dengarlah suara kami
kami tak mampu mengeluh lagi selepas ini
dengarlah sebelum tiba masa kami

Tuesday, October 21, 2014

Asap Putih

Jika benar kau dalam kesulitan
nyalakan aku hanya sebatang
biar ruhku terbang menerawang
membebaskan fikiranmu dari kesulitan

jika benar kau rasa kehilangan
tariklah dalam dalam
hembuskan kembali dari rongga mulutmu
biar kau tak rasa kesunyian

jika kau terus keseorangan
yakinlah aku sentiasa menemani
bawalah aku dalam kocekmu
biar kita jelajah dunia
bersama lontar lontar tinta kenangan
di garis perbatasan impian dan kenyataan

Monday, October 20, 2014

Perdu Getah Tua Ini

Ketika kau masih lena
Matahari belum melimpah sinar kurniaannya
Aku bangun dalam kesejukan
Dengan kekejangan semalam yang masih terasa
Untuk mengumpil garis garis rezeki

Ketika kau bersiap ke pejabat besarmu
Ku redah semak semak berselirat
Dengan sang nyamuk menjadi teman bicara
Yang tak sudah sudah bercerita tentang hari semalam

Ketika kau tunduk hormat pada atasan
Aku tunduk menyembah perdu perdu tua yang setia
Moga moga ia terus bersimpati padaku
Dan memberi sebahagian dari dirinya
Seperti semalam
Agar dapatku hidup esok hari

Jadi bila kau kata darjatmu lebih tinggi dariku
Mana buktinya?
Aku penoreh, berharap dari alam yang tak mengkhianati
Tak pernah pula aku rasa terkeji

Mungkin orang orang sepertimu sudah lupa
Satu hari apabila pejabat pejabat batu itu runtuh
Pasti kau akan menoleh kembali kepadaku
Si penoreh dan perdu getah tua ini.

Thursday, October 16, 2014

Leap of Faith

nak sebut pasal harapan impian memang mudah
semua boleh cakap masing masing ada harapan, impian
tapi boleh tertunai ke harapan tu?
kau boleh janji ke dengan usaha impian kau tu tercapai?
boleh ke aku tanya?

cakap memang sedap
mimpi memanglah mudah
kau letak kepala terus melayang
masuk la dalam mana mana impian keinginan kau
tapi realitinya susah
sebab kadang kadang macam nasib tak memihak

hidup dengan impian memang indah
aku pun pernah ada impian
nak hidup senang
nak duit banyak
biasa lah tu aku jugak seorang manusia
aku pun usaha nak ke arah tu
tapi aku tak dapat apa benda yang aku nak
sebab aku asyik kena pijak

dunia sekarang
kau suci kau akan dipijak mati mati
kau akan diperas sampai kering
kau diperbodohkan
sama ada kau perasan dan tak perasan saja

jadi kau harus jadi sama macam mereka
"if you can't fight them, join them"
kau harus licik
kena jugak kau pandai menipu
supaya kau boleh bodoh balik orang orang suci tu
jadi kau ikut tabiat sama
sama dengan orang yang pijak kepala kau

Sampai satu tahap akhirnya aku tersedar
oh, aku dah jauh tuhan!
ni bukan jalan yang aku nak
aku dah aniaya banyak orang
aku teringat balik impian dan harapan
semasa jadi orang suci dulu

Sampai tahap macam ni
aku nak teruskan ke hidup aku?
dengan impian dan harapan lama?
atau terus dengan cara sekarang?
sesungguhnya aku tak pandai
kalau boleh aku nak kau ajar aku.

Saturday, September 13, 2014

Aku

aku adalah aku
bukan kamu dia atau mereka
kamu tak akan menjadi aku
kerana kamu bukan aku
dan aku juga bukan kamu

aku hidup untuk aku
bukan untuk siapa siapa yang lainnya
jangan paksa aku dengan sistem mu
jangan paksa aku dengan adat kamu
aku tak akan menurut
ini janji aku

jangan pernah pedulikan aku
aku tak perlu pandangan dari kamu
aku tak perlu lontar kata suaramu
aku tak perlu itu semua
kerana aku hanya mahu hidup

namun jika aku mati
jangan pedulikan aku
kerana aku tak pernah punyai nama
seperti aku aku yang sebelumnya.