Sekarang musim hujan. Di tempat aku, Langkawi sudah tiga hari hujan turun tanpa henti. Tapi kerana Langkawi ini dikelilingi laut, tidaklah dijangkakan berlakunya banjir. Hutan pun masih banyak belum ditarah orang.
Tapi di tanah besar, hutan banyak sudah tiada. Contohnya di kawasan negeri aku, Hutan Pedu ditarah habis habisan. begitu juga di kawasan pergunungan Baling. Laluan antara Bukit Selambau - Baling saban hari dipenuhi dengan lori lori penuh muatan kayu kayu balak, yang paling kecil batangnya sebesar satu pemeluk orang dewasa. Terus, dan berterusan diangkut hutan hutan itu entah ke mana.
Lama kelamaan hutan di kawasan Baling itu, gondol. Hutan yang dulunya jadi tempat legenda, tempat persembunyian dan kem kem gerila komunis, kini mungkin sudah lapang. Kayu kayu berharga ditebang, diangkut keluar. Pohon pohon yang tidak bermanfaat pada industri turut dimusnahkan. Aku percaya di tempat lain juga serupa. Kerakusan manusia tidak kira sempadan apa pun.
Jadi apabila berlaku banjir besar di negeri negeri utara minggu ini, aku tidak sedikitpun hairan. Semua akar sudah mati, tidak mencengkam tanah, apa nak dihairankan bila berlaku banjir? Bukankah Tuhan sudah berpesan jangan musnahkan alam, kelak bencana akan menimpa. Cuma manusia yang enggan mendengar, lebih suka berpura pura terkejut bila bencana ini berlaku.
Timbul pula sabda sabdu, mengatakan banjir besar ini diakibatkan murkanya Tuhan pada rakyat negeri negeri yang terlibat. Nah, mudah sekali mulut mengucapkan. Bagi aku jika betul ini adalah bencana dari kemurkaan Tuhan, ia adalah kerana sikap sikap orang politik yang lebih bersikap kapitalis dari sedar dengan kepentingan menjaga alam sekitar. Dengan tangan orang politik dan kapitalislah hutan hutan dan bukit bukit gondol, kenapa kesalahan dijatuhkan keatas rakyat. ini cuma basa basi pernyataan mahu mengelakkan tanggungjawab atas apa yang berlaku. Keruntuhan moral rakyat (kononnya) yang menjadi kambing hitam.
Sabda sabdu seorang yang bergelar pewaris nabi ini sangat melelahkan. Akhirnya rakyat yang menderita dalam bencana ini. Aku kira, selagi hujan tidak berhenti selagi itulah sabda sabdu ini terngiang, dan kapitalis perosak alam terus berkeliaran.
No comments:
Post a Comment