Friday, December 12, 2014

Makhluk Ajaib Bernama Wang

Malam itu terasa tenang. Aku baru mengabiskan tugasku untuk hari itu.   Tugas melayan muka muka yang tak pernah ku lihat sebelum ini. Muka yang tak pernah puas dengan keadaan diri sendiri, selalu saja mahu memperhambakan orang lain demi kepuasan diri.

Penat malam itu seperti yang sebelumnya. Selalu saja penat ini dilanjuti dengan sakit seluruh badan waktu pagi. Begitupun aku tetap bangun pagi. Agaknya inilah aturan tuhan. Tugasku menanti tak memungkin kan aku bersenang melayan kesakitan.

Aku rebahkan diriku atas tilam lama itu. Entah berapa ribu kali aku rebah diri di atas tilam itu juga, sebelum ini. Aku tak pernah peduli, kerana sering aku anggapkan tilam itu adalah hadiah yang wajar buat tubuhku yang tegang sepanjang hari. Ya memang aku bekerja untuk upah, gaji tapi kehangatan malam di atas tilam ini adalah syurga. Wang bukan apa apa,selain hanya lembar2 kertas yang selalu mengubah manusia.

Wang memang selalu mengubah manusia. Berapa ramai yang terkorban kerana lembaran kertas yang kononnya bernilai ini. Ramai juga yang mengenepikan moral dan etika, meletakkan wang sebagai tuhan mereka. Berkuasalah mereka yang memilikinya.

Aku juga pernah merasakan jahatnya pengaruh wang. Cintaku ditolak kerana wang. Aku dihina dalam diam oleh kekasihku waktu itu, kerana selalu kesempitan. Lalu dia tinggalkanku untuk bersama wang, yang dapat membelinya kebahagiaan. Begitu mudah rasanya.

Kadang kadang hatiku membentak. Kemiskinan adalah suatu kehinaan. Kemiskinan yang membuat perbezaan antara manusia. Berbeza nilai manusia itu sekarang kerana nilai wang ditangannya. Terasa moral dan etika hanyalah kata kata kosong penyedap telinga orang miskin. Orang kaya yang memampuskan pegangan moral dan kecintaan sebenar. Aku bersetuju.

Aku sudah memiliki sedikit wang, suatu benda yang kononnya ajaib bagi ku dulu. Namun keadaanku nasih tak berubah. Kesunyian masih bersarang di hati. Gadisku waktu itu tak mungkin aku dapatkan kembali. Aku perlahan lahan cuba mengingati wajahnya. Tak dapat. Rupanya dua tahun suatu masa yang panjang. Tapi ada juga rasa rasa yang masih aku ingatkan. Tetapi tidak wajahnya.

Dalam kekacauan fikiran itu, aku hanyut dalam tidur. Dan esoknya aku akan bangun lagi. Demi mencari makhluk ajaib bernama wang.

No comments:

Post a Comment